Minggu, 02 Februari 2014

Kapal Selam Tentera India Meletup


MUMBAI – Seramai 18 kelasi sebuah kapal selam berkuasa diesel milik tentera India dikhuatiri mati apabila ia meletup di sebuah limbungan di sini semalam.

Kapal selam INS Sindhurakshak yang kembali ke India kurang setahun lalu selepas diubah suai di Rusia turut tenggelam dalam kejadian itu.

Insiden berlaku beberapa hari selepas New Delhi memuji pelancaran kapal induk pertama buatan domestik dan ujian pelayaran kapal selam nuklear keluaran India.

Rakaman video amatur oleh seorang saksi menunjukkan satu letupan besar berlaku di limbungan tentera laut itu sejurus selepas tengah malam.

“Punca letupan belum diketahui,” kata jurucakap tentera laut, Narendra Kumar Vispute.

Menurutnya, sekumpulan penyelam telah dikerahkan bagi mencari kru berkenaan sebaik sahaja api dipadamkan.

“Saya berasa sedih berhubung kehilangan nyawa anggota tentera semasa mereka berkhidmat untuk negara,” kata Menteri Pertahanan, A.K. Antony.

Pada Februari 2010, INS Sindhurakshak pernah terbakar semasa berlabuh di bandar Visakhapatnam, selatan India. Seorang kru maut dan dua lagi cedera dalam kejadian itu.

Terdapat kebimbangan letupan itu akan merosakkan beberapa kapal lain di limbungan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak tentera telah mengarahkan satu siasatan dilancarkan berhubung insiden tersebut.

Dibeli dari Rusia dan beroperasi pada 1997, INS Sindhurakshak kurang kelengkapan keselamatan moden seperti yang terdapat pada beberapa model baharu.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar